Sekadar hiasan
Anak-anak adalah permata yang paling berharga dalam sesebuah keluarga.
Kehadirannya amat dinantikan dan membahagiakan. Dia jugalah merupakan
amanah besar yang perlu dijaga dengan baik dan dipastikan kelangsungan
hidupnya di hari muka.
Anak yang hebat sudah semestinya lahir daripada sebuah keluarga yang
harmoni dan penuh dengan kasih sayang. Ini kerana persekitaran keluarga
yang positif ini menyediakan tempat yang paling kondusif untuk anak-anak
membesar dengan baik. Sebalik nya jika persekitaran yang disediakan
tidak begitu baik maka harapan untuk itu sukar direalisasi. Anak-anak
yang positif ber mula daripada asas dalaman juga yang positif.
Perasaan–perasaan negatif perlu dibuang jauh dari dalam dirinya demi
menjamin peribadi individu cemerlang yang bakal dilahirkan. Usaha ini
memerlukan campur tangan ahli keluarga terutamanya ibu bapa.
Salah satu perasaan negatif yang sering kali mendiami diri anak-anak
ialah perasaan takut. Perasaan ini boleh dikategorikan kepada takut yang
positif dan takut yang negatif. Takut yang positif ialah takut kepada
Allah, takut untuk melakukan perkara yang dilarang dan perkara yang
tidak baik. Sebaliknya, takut yang negatif ialah perasaan takut yang
boleh meragut keyakinan dan membenam motivasi dirinya seterusnya
merencatkan perkembangannya.
Kenapa Takut
Takut ialah sebahagian daripada perkembangan anak yang normal. Ianya
terjadi apabila komponen minda, emosi, fizikal dan spiritualnya
berkembang dan berhubung dengan pengalaman-pengalaman baru yang muncul
dalam kehidupannya lalu membangkitkan rasa takut.
Walau bagaimanapun, keadaan normal ini perlu dibantu untuk mengatasi
dan menghadapinya. Kegagalan ibu bapa memberi respons yang dikehendaki
sewaktu anak dalam keadaan takut akan membiakkan perasaan itu menjadi
fobia dan meragut keyakinan dan motivasi dirinya. Di sini proses
perkembangannya akan sedikit terganggu.
Bagaimana untuk membantu anak mengatasi perasaan ini? Perkara pertama
yang perlu anda lakukan ialah pastikan apa yang membuatkan anak merasa
takut. Contohnya dalam bilik yang gelap, dia merasa takut. Tenangkan
dirinya dan cari punca sebenar yang menyebabkan dia merasa takut.
Cuba pelbagaikan cara contohnya buka lampu tidur untuk memberi sedikit
cahaya supaya bilik tidak terlalu gelap. Lihat reaksinya jika kegelapan
yang menjadi ketakutannya, mungkin ketika ini perasaan takutnya sedikit
reda.
Anak-anak penuh dengan imaginasi. Apa yang dilihat di televisyen, buku
dan sebagainya akan bermain di dalam fikirannya terutama jika bahan
tersebut dilihat dekat dengan tempoh untuk tidur.
Perkara-perkara ini bermain di fikiran dan mengganggu emosinya terutama
dalam keadaan yang gelap kerana keadaan yang gelap dalam sebuah bilik
adalah berbeza dengan keadaannya sewaktu terang.
Sebaiknya, elakkan anak-anak daripada menonton televisyen sebelum
mereka masuk tidur. Perkara yang paling baik dilakukan ialah merangsang
minda mereka dengan membaca buku-buku yang ringan dan tidak mengandungi
elemen yang menakutkan. Temankan dia sebentar dalam biliknya sehingga
dia tertidur.
Nyatakan Perasaan
Seterusnya, beri dia peluang untuk menyatakan perasaannya dan bercerita
mengenainya. Melalui penceritaan ini kita boleh mengenal pasti sebab
utama yang membuatkannya merasa takut. Ruang yang diberikan oleh ibu
bapa ini memberi isyarat kepada anak bahawa ibu bapanya prihatin
dengannya dan mengambil berat tentang dirinya. Isyarat ini sudah cukup
untuk melegakan sedikit ketakutannya.
Di samping itu, ibu dan bapa boleh menasihati anak melalui cerita yang
disampaikan. Tanamkan dalam dirinya bahawa Allah ada dengan kita,
sentiasa dengar dan ada dekat, minta pertolongan Allah sebab Allah kuat
dan boleh kalahkan semua benda, ibu dan ayah juga sentiasa ada dengan
kamu. Mesej yang ringkas dan mudah difahami ini perlu sentiasa diulang
supaya anak dapat mengambilnya sebagai persepsi kehidupannya untuk
melawan rasa takutnya. Sokongan berterusan yang ditunjukkan menyuntik
keyakinan dalam dirinya untuk menghadapi rasa takut.
Selain itu, latih anak hadapi rasa takut. Ajarkannya untuk memberitahu
diri perkara-perkara yang positif contohnya, saya boleh tidur dengan
tenang malam ini, bilik ini sangat selesa untuk tidur, suasana bilik
yang gelap memudahkan saya untuk tidur dan Allah menjaga saya.
Selain itu, beritahu anak apa yang ada dalam biliknya dan tunjukkan
benda tersebut supaya dia tahu dan sedar kewujudan semua benda tersebut
dalam biliknya. Kesedaran (awareness) ini penting kerana salah satu
sebab mereka takut ialah mereka tidak biasa dengan benda-benda yang ada
dalam bilik. Sebaliknya jika mereka telah diberitahu mereka akan membina
imaginasi tersebut dalam minda dan selesa dengannya.
Akhirnya, latih mereka untuk duduk dalam bilik yang gelap untuk
seketika. Beritahu mereka ibu dan ayah ada di luar jika takut keluar
dari bilik ini, ayah dan ibu tidak akan tutup pintu. Lihat sejauh mana
dia mampu bertahan dalam bilik tersebut. Latihan ini perlu diberikan
acap kali.
Pertama kali mungkin dia hanya mampu bertahan seketika atau tidak
langsung tetapi tempoh masa tersebut akan bertambah untuk sesi
berikutnya dan akhirnya mereka mampu menghadapinya. Untuk latihan ini
jangan memaksa, biar anak lakukan dengan sukarela. Paksaan hanya akan
meningkatkan rasa takutnya dan menjauhkan dirinya dengan kita.
Sumber: Pa & Ma
No comments:
Post a Comment